Jenama Tanamera Memasuki Pasaran 14 Buah Negara – Aug 2015

Sejak kecil wanita ini mengikuti perkembangan ibunya Fatimah Sheikh Salleh yang berguru dengan bidan tradisional kerabat diraja Perak mengenai ilmu herba. Malah dia dibawa ke hutan mengenali pelbagai jenis herba dan khasiatnya sebelum mengikuti kelas menghasilkan produk kesihatan secara formal di Indonesia selama setahun. Bagi Ketua Pemasaran Antarabangsa, Tanamera Tropical Spa Sdn Bhd (Tanamera) Faridah Ahmad Fadzil sejak kecil dia menjadikan ibunya sebagai inspirasi dan melihat sendiri kegigihan wanita ini menghasilkan kapsul jamu secara manual di rumah sebelum membuka bengkel berdekatan kediaman mereka.

Faridah mengakui dia mengalami kejutan budaya apabila dibawa berniaga ke seluruh negara, tidak terkecuali lokasi terpencil, semata-mata untuk mempromosi produk jamu milik keluarganya. Sebagai lang­kah memasarkan produk ibu menggunakan pendekatan berbeza dengan menganjurkan parti di rumah pelanggan sekali gus memperkenalkan jamu kepada tetamu.

“Saya sangat kagum dengan ibu kerana dia mempunyai pengetahuan dalam perniagaan dan petah berkata-kata. Daripada dia juga, saya belajar kaedah berkomunikasi dengan orang ramai. Nyata, keputusan mereka dulu membuatkan saya berada di kedudukan hari ini dan saya tidak menyesal,” kata anak kelahiran Kluang, Johor yang membesar di Melaka.

Menjelaskan lebih lanjut ketika menghasilkan produk semuanya dilakukan sendiri daripada mencampurkan bahan mentah menghasilkan produk sehinggalah kepada sukatan yang tidak menggunakan sistem secara standard sebaliknya hanya mengikut kaedah genggaman.

“Saya mula mendapat idea untuk menjadikan produk herba dan jamu ini secara lebih komersial, sama ada dari segi penghasilan, kegunaan mahupun pembungkusan.

“Apa yang kami inginkan adalah penghasilan jamu 100 peratus daripada herba tanpa campuran sebatian lain. Walaupun ketika itu amat sukar, kami sangat optimis bagi memastikan produk yang dihasilkan benar-benar berkualiti,” katanya yang mengusahakan bersama tiga saudara yang lain.

Lama-kelamaan produk jamu mereka mula mendapat perhatian sehinggakan Faridah dihubungi sebuah syarikat jualan langsung yang meminta menghasilkan produk jamu untuk mereka. Ini menyebabkan syarikat terpaksa menambah staf daripada dua kepada 10 kakita­ngan, sekali gus mendirikan kilang di atas sebidang tanah di Kuala Selangor.

Atas kepercayaan dan keyakinan dalam mengeluarkan produk berkualiti dan semula jadi Faridah dihubungi sebuah syarikat jualan langsung yang meminta syarikat miliknya FA Herbs menghasilkan sabun herba pada 1997. Meskipun tidak berkemahiran menghasilkan sabun, Faridah tidak malu berguru dan memanfaatkan pengetahuan menggabungkan herba bagi memenuhi kehendak pelanggan. Pembinaan kilang itu membolehkan mereka menerima sijil Praktis Pengilangan Baik (GMP) dan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 1999.

FA Herbs juga mendapat peluang membekalkan produk madu import dari New Zealand kepada syarikat jualan langsung antarabangsa Amway bermula 13 tahun lalu. Apabila syarikat mula stabil, Faridah mula mencari cabang perniagaan baru yang pastinya tidak lari daripada konsep herba sehingga terhasillah Tanamera yang bermula dengan hanya lapan produk.

“Sebenarnya, Tanamera mula didaftarkan sejak 2000, tetapi disebabkan kami terlalu sibuk menguruskan operasi lain sehingga me­nyebabkan kami hanya sempat menghasilkan lapan jenis produk menggunakan label Tanamera iaitu semburan pewangi serta sabun,” kata Faridah.

Ketika itu dia yang rajin menyertai pameran antarabangsa mula membawa produk Tanamera dalam pameran itu. Berbekalkan 20 produk Tanamera ketika menyertai pameran di Amsterdam, Belanda, syarikat Bumiputera ini menarik perhatian pengedar dari Jerman dan jenama Tanamera semakin terkenal di pasaran antarabangsa, malah berjaya memasuki pasaran di 14 negara.

“Pembabitan di peringkat antarabangsa bermula pada awal 2003, apabila kami menerima kunjungan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan terpilih sebagai perantis program pembangunan eksport (MTOP), sekali gus diberi peluang mempromosi Tanamera di peringkat antarabangsa. Ketika itu Tanamera belum dikenali di Malaysia,” katanya.

Selepas lima tahun mengukuhkan nama di luar negara, Tanamera memulakan langkah memasuki pasaran tempatan pada 2007. Ketika itu ramai menyangka ia produk dari Indonesia. Dengan promosi dan pemasaran serta kualiti pada produk itu sendiri menyebabkan Tanamera menerima sambutan luar biasa daripada pelanggan.

Ini terbukti apabila permintaan di kios pusat beli-belah semakin memberangsangkan sebelum dihentikan berikutan pertambahan bilangan produk Tanamera yang mencecah sehingga 120 jenis. Selain itu, produk Tanamera menjadi pilihan pengusaha spa dan salun kecantikan, terutama usahawan yang mementingkan produk berasaskan herba. Lebih mengujakan pada 2014, label Tanamera mula memasuki pasaran Australia, Amerika Selatan, Afrika Selatan, Arab Saudi dan negara Asia Barat yang lain.

Ditanya rahsia kejayaan Tanamera, jelas Faridah Tanamera seakan-akan ‘hidup’ dan mempunyai nyawa sendiri. Ini kerana produk itu sendiri mementingkan kualiti dalam penggunaan bahan herba tanpa campuran bahan kimia lain. Lebih penting jika dulu bahan berasaskan beras, kunyit dan kelapa, kini menerusi modenisasi dalam penghasilan produk menyebabkan gula, garam, serbuk madu, bunga raya turut dijadikan bahan asas dan mempunyai kelebihan tersendiri.

Atas keyakinan yang ditunjukkan menyebabkan Tanamera mula mendapat kepercayaan rakyat Malaysia dan selebihnya 50 peratus dieksport ke luar negara. Jelas Faridah dia juga berbangga kerana pengguna di Malaysia juga semakin bijak dalam memilih rangkaian produk berasaskan herba. Mereka mula prihatin mengenai kandungan kimia dalam produk kecantikan yang boleh membahayakan kulit.

“Sebab itu tanpa promosi yang kuat Tanamera masih mendapat perhatian dan menjadi pilihan kebanyakan pengeluar produk di dunia. Kebanyakan mereka menghubungi kami sendiri untuk menjadi pengedar,” ujar Faridah yang berbangga kerana mampu berada sejauh ini.

Pada masa akan datang Faridah berharap dapat mewujudkan kedai berkonsep Tanamera yang akan diperkenalkan ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 1:50 PM